Wednesday, December 23, 2009

KWSP Perkenal Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia




Simpanan Peroleh Dividen Tahunan Serta 5% Sumbangan Kerajaan


Mulai 3 Januari 2010, kebimbangan golongan yang bekerja sendiri seperti petani, nelayan, pemandu teksi, penjaja dan pemilik perniagaan terhadap ketidakcukupan simpanan semasa bersara bakal diatasi dengan pengenalan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia semasa pembentangan Bajet 2010 pada Oktober lepas berlandaskan kepada tanggungjawab sosial, dengan mengambil berat terhadap kebajikan semua peringkat rakyat yang bekerja sendiri iaitu kategori individu yang tidak mempunyai skim simpanan persaraan secara formal.  Skim ini bertujuan untuk memberikan perlindungan kewangan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap apabila mereka mencapai usia tua.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap ketidakcukupan simpanan persaraan yang menjadi kebimbangan sebahagian besar rakyat Malaysia terutamanya golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan. Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia menawarkan golongan terpilih ini fleksibiliti dalam menentukan berapakah jumlah yang mampu disimpan untuk simpanan persaraan mereka,” kata Tan Sri Azlan Zainol, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP.

Tidak seperti skim simpanan KWSP yang biasa, amaun yang dicarumkan ke dalam Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia adalah bergantung kepada tahap kemampuan pencarum sepenuhnya.

“Ahli boleh memilih untuk mencarum amaun minimum sebanyak RM50 sehingga RM5,000 sebulan sebagai simpanan persaraan mereka. Caruman adalah secara sukarela dan pencarum juga tidak perlu membayar caruman setiap bulan, ia bergantung kepada tahap kemampuan mereka,” tambah Tan Sri Azlan.

“Bagaimanapun, ahli digalakkan untuk mencarum sejumlah wang secara berterusan tidak kira berapa jumlahnya, ke dalam skim persaraan ini kerana disiplin amat perlu apabila menyimpan untuk persaraan.”
Simpanan di bawah skim ini akan menerima dividen tahunan mengikut kadar yang diumumkan KWSP sebagai tambahan kepada sumbangan kerajaan sebanyak 5 peratus dan tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM60 setahun, selama 5 tahun bermula dari tahun 2010 hingga 2014.

Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia ini terbuka kepada individu bekerja sendiri seperti penjaja, peniaga pasar malam, ejen hartanah, golongan freelance seperti deejay, instruktur kesihatan dan kecergasan (fitness instructors), penyanyi dan pelakon, serta pemilik perniagaan online.

Individu yang berminat untuk menyertai skim ini perlu mengisi Borang KWSP 16G(1M) yang boleh diperoleh di Cawangan KWSP seluruh negara atau memuat-turun dari laman web ini mulai 3 Januari 2010. Borang ini perlu dikembalikan ke Cawangan berdekatan KWSP atau melalui serahan mel.

Bagaimanapun, individu yang berminat dan masih belum menjadi ahli KWSP perlu berdaftar sebagai ahli KWSP terlebih dahulu dengan mengisi Borang KWSP 3 dan mengemukakannya kepada KWSP sebelum memohon menyertai skim ini.
Simpanan boleh didepositkan secara tunai atau cek menggunakan Borang KWSP 6A(2) di Kaunter Bayaran KWSP seluruh negara.
Ahli KWSP sedia ada yang telah bekerja sendiri turut layak memilih untuk menyertai skim baru ini.
Simpanan di bawah skim ini juga boleh dikeluarkan tertakluk kepada syarat dan prosedur semasa pengeluaran KWSP.

Untuk keterangan lanjut, sila kunjungi pejabat KWSP berdekatan atau hubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-8922 6000 atau layari laman web ini.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan  asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya.

Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar.

KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.

Tarikh: 22 Disember 2009

No comments:

Post a Comment

Happy Deepavali

The festival of light is here! May you be the happiest and may love be always with you. Happy Deepavali!